LECTURE SUBJECT:

Wednesday, October 28, 2009

Persembahan buku audio visual



Broadway Digital Media akan membawakan khidmat tuisyen terus ke kaca televisyen di ruang tamu rumah anda.




SAAT dunia hari ini kian kompetitif dan kecemerlangan akademik menjadi keutamaan, ibu bapa turut dihambat kegusaran. Bimbang pembelajaran di sekolah tidak memadai untuk mencatat kecemerlangan, anak-anak didaftarkan ke kelas tambahan atau pusat tuisyen.

Namun, bukan sedikit wang yang terpaksa dikorbankan. Dalam mengakui keperluan tuisyen, terasa juga perit bebannya. Perlu bayar yuran tuisyen, menambah wang perbelanjaan anak, kos pengangkutan dan petrol. Lebih buruk lagi apabila hubungan dengan anak-anak kian renggang kerana masa untuk bersama semakin berkurangan.

Justeru, mungkin ada antara ibu bapa yang berfikir 'alangkah baiknya kalau anak-anak boleh menghadiri kelas tuisyen tanpa perlu keluar dari rumah.' Tetapi bagaimana?

Syarikat Broadway Digital Media (BDM) kini berusaha merealisasikannya. Jangan salah sangka, ia bukan khidmat guru peribadi yang bertandang ke rumah yang kosnya tentu lebih mahal, sebaliknya ia sesuatu yang lebih moden, interaktif dan sesuai dengan gaya hidup masa kini.

BDM akan membawakan khidmat tuisyen terus ke kaca televisyen (TV) di ruang tamu rumah anda!

Dinamakan iBoxX Tuition TV (ITTV), ia dijangka mengubah senario industri tuisyen di Malaysia apabila dilancarkan pada Disember ini.

Apa yang anda perlukan adalah kotak iBoxX yang dibangunkan oleh BDM, cakera keras (hard disc) ITTV yang berisi kandungan pembelajaran dan set TV atau komputer peribadi (PC) untuk skrin tontonan.

Kata orang, pengalaman adalah guru yang baik dan itulah yang boleh disimpulkan mengapa terciptanya produk ini.

"Saya terfikir untuk menghasilkan teknologi ini kerana pengalaman sendiri. Saya ada dua anak yang bersekolah dan saya menghabiskan sekurang-kurangnya RM300 sebulan untuk seorang anak bagi keperluan tuisyen. Ia agak membebankan.

"Selepas itu, saya teliti gaya hidup anak-anak yang pergi ke kelas tuisyen. Mereka ke sekolah pada pukul 6.30 pagi, balik sekolah pada pukul 12.50 tengah hari dan kemudian terus bergegas ke kelas tuisyen. Bawa beg berat dan pada pukul 5.30 petang, barulah mereka berada di rumah.

"Ada pula yang pergi ke tuisyen pada hari minggu dan ia membataskan masa berkualiti bersama keluarga. Adakah ia satu budaya yang bagus?" soal Ketua Pegawai Eksekutif BDM, Boon Tan ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Brickfields, Kuala Lumpur baru-baru ini.




Potensi tuisyen cara baru itu mungkin akan menyerlah memandangkan teknologi itu merupakan yang pertama di negara ini. Tambahan pula, populariti tuisyen sememangnya terus meningkat sejak budaya tuisyen dipopularkan pada tahun 1980-an.

"Kami memilih pendekatan menggunakan cakera keras berbanding tuisyen dalam talian Internet kerana kami dapati masih terdapat tempat-tempat di negara ini yang tidak dapat mengakses Internet. Sedangkan, boleh dikatakan semua rumah memiliki televisyen," katanya sambil memberitahu kandungan ITTV mula dibangunkan sejak sembilan bulan lalu.

Berkonsepkan seperti menonton video DVD, pengguna boleh melakukan seleksi dengan klik pada ikon, melakukan forward, pause dan sebagainya. Anak-anak kini boleh belajar tuisyen pada bila-bila masa yang dikehendaki di rumah. Ibu bapa juga tidak perlu risau anak-anak terlibat dalam gejala ponteng tuisyen atau terpengaruh dengan anasir negatif di luar rumah.

Selain itu, ibu bapa juga boleh memantau pembelajaran anak dan menyelia prestasi pencapaian akademik mereka.

Metodnya pula mudah iaitu cakera keras ITTV diplugkan pada kotak iBoxX dan kandungan pembelajaran dipancarkan ke peti TV.

Untuk permulaan ini, iBoxX menawarkan pembelajaran tuisyen bagi murid-murid tahun 4, 5, 6 serta tingkatan 1,2 dan 3. Setiap darjah atau tingkatan menawarkan lima subjek iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Cina

Ia juga menyediakan latihan selepas setiap satu-satu topik dibincangkan. Pengguna hanya perlu menjawab menggunakan alat kawalan jauh. Jawapan akan diberikan selepas itu.


SETAKAT ini, BDM menawarkan lima subjek iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Sains dan Matematik.


Kandungan pembelajarannya pula berasaskan silibus pembelajaran Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia ditulis dan diselia oleh guru-guru berpengalaman dan disampaikan menerusi video oleh 20 guru dengan teknik pengajaran yang menarik.

"Lima subjek ini hanya untuk permulaan. Kami akan memperluaskan lagi subjek dan darjah atau tingkatan yang lain dari semasa ke semasa. Kami juga akan mengemas kini pembelajaran bersesuaian dengan keperluan semasa, misalnya Matematik dan Sains tahun 2012 nanti akan disampaikan dalam bahasa Malaysia," katanya.


PERANTI yang diperlukan untuk merealisasikan tuisyen cara baru ini adalah kotak iBoxX, cakera keras ITTV dan televisyen.


Mungkin sukar untuk dinyatakan keberkesanan pembelajaran cara itu kerana ia masih belum dilaksanakan, namun beliau berkata, pihaknya ada membuat ujian awal.

"Kami telah mempersembahkannya kepada 20 kanak-kanak bersama ibu bapa mereka dan maklum balas yang diterima amat baik. Mereka suka kandungannya yang menyeronokkan dan berwarna-warni. Ia ibarat buku yang dipersembahkan secara audio visual," katanya.

Ibu bapa hanya memerlukan satu kotak iBoxX sahaja untuk sebuah rumah dan ia boleh digunakan untuk seberapa banyak set pembelajaran tuisyen bagi darjah atau tingkatan yang dikehendaki.

"Misalnya, jika ibu bapa mahu membeli set pembelajaran tuisyen untuk anak mereka yang berada dalam darjah empat dan tingkatan tiga, mereka hanya perlu membeli set pembelajaran tuisyen bagi darjah atau tingkatan berkenaan dan sebuah kotak iBoxX sahaja," katanya.


BERSIFAT interaktif dan menarik untuk ditonton murid dan pelajar sekolah.


Tambah menarik, dengan memiliki iBoxX juga, pengguna boleh mendapat nilai tambah iaitu 15 saluran televisyen dan carian berhubung promosi terbaru di kompleks beli-belah, pasar raya dan sebagainya.

Kotak iBoxX dijual pada harga RM199 dan set pembelajaran (lima subjek lengkap mengikut silibus setahun) bagi murid sekolah rendah dijual pada harga RM700 dan sekolah menengah RM900. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-2272 2882.

0 Responses to “Persembahan buku audio visual”

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Discussion