LECTURE SUBJECT:

Monday, April 12, 2010

e-dagang dijangka tumbuh 20% tahun ini


KUALA LUMPUR 12 April - Persatuan ICT Nasional Malaysia (Pikom) yakin pertumbuhan perdagangan elektronik (e-dagang) akan mencecah 20 peratus tahun ini berbanding kira-kira 10 peratus pada tahun lalu.

Pengerusinya, Wei Chuan Beng berkata, sasaran tersebut juga melebihi unjuran syarikat kaji selidik, IDC Malaysia, iaitu 16 peratus.

Menurutnya, pertumbuhan e-dagang didorong terutamanya oleh kegiatan perniagaan ke perniagaan (B2B) dan diikuti dengan perniagaan kepada penguna (B2C).

"Berdasarkan unjuran IDC Malaysia, B2B dijangka menyumbang AS$20 bilion (RM64 bilion) manakala B2C sebanyak AS$3 bilion (RM9.6 bilion) terhadap e-dagang pada tahun ini.

"Selain itu, keyakinan itu juga bersandarkan usaha-usaha kerajaan seperti perkhidmatan dalam talian termasuk e-bayaran dan e-perkhidmatan bagi membantu perniagaan terutamanya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bulan ICT Kebangsaan (NIM 2010) yang dijadualkan berlangsung dari 13 Julai hingga 12 Ogos ini dengan tema 'e-Dagang untuk Capaian Global', di sini hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Maximus J. Ongkili turut hadir merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Dalam pada itu, Chuan Beng berkata, NIM 2010 akan menumpukan terhadap e-dagang yang memaparkan kepentingannya kepada perniagaan terutamanya PKS, sebagai satu alat yang berkesan dan cekap untuk meluaskan ke pasaran global.

"Walaupun e-dagang bukan sesuatu yang baharu, namun ia masih belum digunakan secara meluas oleh perniagaan.

"Justeru, kempen itu adalah satu landasan untuk menggalakkan penggunaannya. Pikom bakal mengadakan satu sesi bertajuk 'Kejayaan Perniagaan PKS dengan Siri ICT' supaya operasi PKS lebih berdaya saing dan berada pada tahap lebih tinggi dalam rangkaian nilai," jelasnya.

Tambahnya, NIM 2010 adalah sebahagian usaha berterusan untuk meningkatkan industri ICT dan memperkayakan masyarakat dengan menampilkan tujuh aktiviti teras dan program-program utama yang diterajui oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Beliau juga berkata, pihaknya merancang untuk melancarkan pusat membeli belah komputer, dikenali PC Mall milik sendiri, pada tahun ini.

"Ahli-ahli dalam industri ini telah menyatakan minat supaya satu lokasi ditetapkan dan sebagai lanjutan kepada Pameran PC yang diadakan dua hingga tiga kali setahun.

"Bagaimanapun, rancangan ini masih dalam perbincangan dan kami berharap konsep seumpama ini dapat dikembangkan ke negeri-negeri lain dalam dua tahun akan datang dan bukan tertumpu di Lembah Klang sahaja," ujar Chuan Beng.

0 Responses to “e-dagang dijangka tumbuh 20% tahun ini”

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Discussion