LECTURE SUBJECT:

Tuesday, July 13, 2010

SETARA 2009




Keputusan pengiktirafan institut pengajian tinggi (IPT) Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) 2009 telah diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam. Taraf yang diberikan dalam SETARA adalah Tahap Terbilang, Tahap Cemerlang, Taraf Amat Baik, Tahap Baik, Tahap Memuaskan dan Tahap Lemah. Hasil penarafan SETARA ini akan digunakan sebagai petunjuk oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam menetapkan dasar-dasar pendidikan tinggi yang bersesuaian.

SETARA yang dikendalikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Penarafan ini dilakukan setiap dua tahun bermula 2007, bagi mengukur kedudukan IPT awam dan swasta dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf institusi pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa. Hanya Universiti Malaya (UM) menerima Tahap Cemerlang pada SETARA 2007 dan UM mengekalkan kedudukan itu pada SETARA 2009.

SETARA 2009 melibatkan ke semua 58 universiti dan kolej universiti di seluruh negara, berbanding hanya 20 IPT pada SETARA 2007. Bagi SETARA 2009, 11 IPT tidak dapat diberi penarafan kerana pelbagai faktor termasuk baru ditubuhkan, tidak menawarkan program ijazah pertama, tiada pelajar tahun akhir atau belum menghasilkan graduan dan universiti bukan konvensional seperti universiti terbuka yang mungkin memerlukan instrumen tersendiri.

Penarafan SETARA 2009 memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran pada peringkat ijazah pertama yang dijalankan universiti dan kolej universiti terbabit. Pembangunan instrumen ini membabitkan pembandingan dengan amalan Higher Education Funding Council of England (HEFCE) dan kajian Teaching & Learning Quality Indicators in Australia Universities oleh Denise Chalmers (2008) serta rakan negara ASEAN lain, iaitu tiga universiti di Indonesia dan 31 universiti di Thailand.

SETARA 2009 juga membabitkan proses pengesahan oleh Jawatankuasa Verifikasi dipengerusikan seorang bekas hakim Mahkamah Tinggi dan dianggotai dua tokoh akademik serta perundangan yang meneliti instrumen kajian dan proses penarafan yang digunakan serta kesahihan data dikemukakan IPT.

IPT awam dan swasta yang mencapai tahap cemerlang boleh menerima tajaan kerajaan pelajar dalam dan luar negara. Mereka juga boleh memohon dan menerima jumlah geran penyelidikan yang disediakan oleh kerajaan dan layak untuk mendapatkan status universiti penyelidikan serta menambah bilangan program pelajar pra dan pasca siswazah.

Kelebihan lain bagi IPT swasta ialah diberi kelonggaran dan pengecualian dalam beberapa perkara antaranya daripada memohon permit mengajar dan dikecualikan daripada mendapat kelulusan daripada kementerian dalam menetapkan gaji pensyarah antarabangsa. Kadar yuran pengajian dikecualikan daripada mendapat kelulusan daripada kementerian dan diberi kelulusan mengambil pelajar antarabangsa secara automatik.

Manakala IPT Terbilang akan mendapat tambahan keistimewaan autonomi untuk melaksanakan program pengajian tanpa perlu melalui MQA.

0 Responses to “SETARA 2009”

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Discussion