LECTURE SUBJECT:

Sunday, October 24, 2010

Ali jutawan pegang hadis Nabi




ALI kini menyasarkan pelaburan dalam hartanah korporat.


KES pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Ladang Gadong, Banting, Selangor dikatakan ada kaitan dengan isu penjualan sebidang tanah milik Sosilawati di Pulau Pinang.

Peguam yang menguruskan penjualan tanah itu kini didakwa atas tuduhan membunuh Sosilawati dan tiga rakannya.

Sebagai peguam dan broker hartanah sekali gus, suspek dikatakan mampu menjana pendapatan yang luar biasa. Tetapi benarkah bidang hartanah menjanjikan kekayaan?

Cerita seorang konsultan hartanah dan pelaburan, Md. Ali Majis, 27, menarik untuk dikongsi.

Seperti segelintir masyarakat yang berfikiran negatif, itulah juga pemikiran awal Ali. Namun, anak kelahiran Kajang, Selangor itu kemudian menyedari bukan semua orang muda yang hidup senang ialah anak orang berada.

“Saya ada terbaca kisah orang bergelar jutawan pada usia yang muda walaupun lahir dalam keluarga yang susah.

“Sejak itu, kisah jutawan muda menjadi pendorong yang kuat untuk saya mencapai cita-cita saya,” kongsi Ali.

Anak ketiga daripada enam adik-beradik itu pada asalnya bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan.

Mula bekerja sejak berumur 10 tahun dengan mengikut ayah yang bekerja sebagai kerani sekolah melakukan kerja sampingan di kedai makan, Ali pernah mengendong set golf seberat kira-kira 10 kilogram kerana mahu memiliki apa yang dihajati.

“Ketika berumur 12 tahun saya bekerja sebagai seorang kedi kerana hendak mendapatkan sepasang kasut beroda rollerblade dan sebuah basikal.

Yuran


ANAK muda ini berjaya membeli kereta idaman ketika berumur 26 tahun.


“Pada waktu itu saya belum faham maksud berdikari. Saya bekerja demi mendapatkan wang untuk membeli barang yang saya mahukan semata-mata.

“Lagipun, ayah mendidik anak-anak lelakinya supaya mencari duit sendiri jika inginkan sesuatu,” kenangnya.

Keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Ali agak teruk gara-gara lebih asyik bekerja daripada membaca buku.

Sebagai hukuman, bapanya menyuruh Ali membayar sendiri yuran persekolahan untuk memasuki tingkatan satu.

“Cuti selama hampir dua bulan sebelum memulakan sesi pembelajaran di sekolah menengah saya penuhkan dengan bekerja.

“Mujurlah saya mendapat wang yang cukup untuk membayar yuran dan membeli kelengkapan persekolahan termasuk pakaian seragam, kasut dan beg sekolah,” tambahnya.

Tahun-tahun berikutnya Ali terus melakukan pelbagai kerja setiap kali cuti panjang.

Sasaran

Beliau pernah bekerja kilang untuk membayar yuran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan SPM yang baik membolehkan Ali memasuki Universiti Tunku Abdul Rahman (Unitar).

Pada tahun pertama memasuki universiti, Ali diberi peluang membantu bapa saudaranya menjual sebuah unit hartanah.

“Belajar sambil bekerja, pada usia 18 tahun saya berjaya membantu membuat jual beli hartanah pertama dan mendapat komisen yang lumayan iaitu hampir RM1,000.

“Sejak itulah saya membuka mata kepada bidang hartanah dan tidak pernah berpatah balik,” kongsinya yang turut mempunyai pengalaman menjadi jurulelong hartanah.


URUS NIAGA hartanah di kebanyakan negara di dunia menjanjikan pulangan yang berbaloi. - Gambar hiasan


Ketika berumur 23 tahun, Ali menyasarkan untuk memperoleh pendapatan RM100,000 dengan melakukan pelbagai kerja seperti menjual barangan komputer dan mengusahakan kafe siber. Sebelum tahun itu berakhir, sasaran yang ditetapkan tercapai.

“Apabila umur masuk 24 tahun, saya dapat membeli sebuah kondominium bernilai RM130,000 di Kuala Lumpur. Kos untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun yang sama juga mencecah RM60,000.

“Semua kira-kira itu menyedarkan saya bahawa tidak mustahil untuk saya mendapatkan RM1 juta,” dedahnya.

Memasuki bidang hartanah secara serius ketika berumur 25 tahun, Ali memikirkan sudah tiba masa untuknya membeli kereta idaman.

Namun, beliau terpaksa menunda impiannya itu. Sebaliknya beliau memberikan wang sebanyak RM100,000 itu kepada ayahnya yang berhasrat membuka sebuah rangkaian pasar raya.

RM1 juta

“Mungkin berkat saya menolong ayah, tiga bulan selepas memberikan ayah duit itu rezeki saya mencurah-curah.

“Di samping melakukan kerja-kerja rundingan, saya turut melabur dalam bidang itu.

“Akhirnya sasaran saya untuk memperoleh aset bernilai RM1 juta tercapai,” luah bapa kepada seorang anak ini.

Setahun selepas itu beliau berjaya juga menempah dan membeli kereta mewah BMW 525i.

Kini, memiliki aset bernilai lebih RM5 juta dalam bentuk hartanah pada usia 27 tahun, Ali mahu berkongsi selok-belok dalam bidang perundingan hartanah dengan khalayak.

Dahulu, sama seperti orang lain, Ali mahu menjadi kaya dan bergaya untuk dirinya sahaja. Namun, pertemuannya dengan sepotong hadis mengubah niatnya itu.

Hadis yang dipaparkan dalam sebuah media tempatan itu berkisar mengenai empat umat Islam yang beruntung dapat masuk syurga tanpa dihisab.

“Mereka ialah pejuang yang syahid, seorang alim, seorang yang mendapat haji mabrur dan seorang hartawan.

“Orang hartawan itu didahulukan masuk ke syurga kerana melalui kekayaannya beliau membantu pejuang agama, haji mabrur dan si alim itu melakukan ibadat mereka hingga layak masuk syurga tanpa dihisab.


JUTAWAN muda ini percaya kahwin awal adalah salah satu punca murah rezeki.


“Disebabkan hadis itu jugalah saya membuat sasaran untuk meramaikan lagi perunding hartanah dan jutawan di Malaysia.

“Broker hartanah memang sudah ramai di Malaysia tetapi bukan perunding hartanah,” kata Ali.

Maklumat tentang seminar perunding hartanah dapat ditemui di http://md-alimajis.com/blog.

Salah seorang pelanggan Ali ialah Rahim (bukan nama sebenar), 61.

Bagi Rahim, corak persaraannya berbeza berbanding pesara kerajaan yang lain.

Beliau tidak sekadar mengharapkan duit pencen bulanan sebaliknya sibuk menguruskan dan mengawal selia 70 unit hartanah di sekitar Lembah Klang dan Selangor, termasuk beberapa unit rumah anak yatim di Rawang, Selangor untuk menambah pendapatan.

“Melalui bayaran sewa rumah-rumah itu, saya kini mempunyai pendapatan pasif mencecah belasan ribu setiap bulan.

“Rumah-rumah yang saya beli bukanlah rumah bernilai tinggi. Hampir separuh daripadanya saya peroleh melalui lelongan dan kebanyakannya melalui perunding hartanah.

“Bidang hartanah tidak banyak masalah transaksi jika pembeli mempunyai sekurang-kurangnya ilmu asas dalam prosedur jual beli.

“Kalau tidak mahu ditipu, perlulah sekurang-kurangnya menyelidik sama ada hartanah itu benar-benar wujud,” ujar Rahim.

0 Responses to “Ali jutawan pegang hadis Nabi”

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Discussion