LECTURE SUBJECT:

Tuesday, October 19, 2010

Momen indah bersama ayah





PETANG itu, laluan di Jalan Bangkung, Bangsar tiba-tiba sesak dengan kenderaan di kedua-dua bahu jalan. Kawasan kediaman di lokasi yang aman tenteram itu bertukar meriah.

Lebih ketara, sebuah restoran Itali, Opus Bistro menjadi tumpuan. Dalam sekelip mata, ruang kecil di restoran itu dipenuhi pengunjung. Semuanya cuba mendapatkan kedudukan terbaik.

Tumpuan segera beralih kepada sebuah pentas kecil di depan mata. Dua orang pengacara majlis diapit oleh tujuh individu yang menjadi tetamu istimewa pada petang itu. Mereka bukan pelakon drama ataupun penyanyi terkenal.

Sebaliknya, ketujuh-tujuh individu dari pelbagai peringkat usia itu merupakan keturunan kepada pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab mengasas Malaysia pada suatu ketika dahulu.

Mereka terdiri daripada anak, cucu dan cicit tokoh-tokoh pengasas Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun V. T. Sambanthan, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Fuad Stephens.

Membawa tema Malaysiaku: Meraikan Hari Malaysia, sesi temu bual anjuran Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) bersama agensi berita Bernama TV itu bermula tepat pada pukul 5 petang.

Anak kepada tokoh politik, Tun Dr. Ismail, Tarmizi, 50, menyifatkan pertemuan sempena Hari Malaysia itu sebagai sangat signifikan. Sejujurnya, beliau tidak teragak-agak untuk menghadiri sesi pertemuan itu selepas menerima jemputan daripada pengasas IDEAS, Tunku Zain Al-abidin Muhriz.

Sebagai seorang peminat tegar sejarah, Tarmizi menyatakan Malaysia terbentuk daripada situasi yang sangat kompleks. Baginya, asas perpaduan yang telah dibina oleh tokoh-tokoh terdahulu akan musnah sekiranya rakyat Malaysia tidak berhati-hati dan terus fokus kepada perbezaan kaum.

Membahasakan Ismail sebagai ayah, bapa kepada tiga orang anak itu bersyukur dan menyifatkan dirinya bertuah. Bertuah kerana merupakan sebahagian daripada mereka yang pernah hidup bersama tokoh-tokoh pengasas Malaysia itu.

“Sebenarnya, hidup dalam bayang-bayang seorang tokoh yang disegani dan dihormati adalah satu pengalaman yang membuatkan saya berasa rendah diri.

“Mereka yang pernah bekerja atau mengenali ayah melalui pembacaan buku sejarah akan memberitahu saya perkara baik-baik tentangnya,” kata Tarmizi kepada Kosmo! dalam satu temu bual berasingan di ibu negara baru-baru ini.


DARI kiri : Zamakhari, Ariff dan Tarmizi menghargai sumbangan dan legasi yang ditinggalkan oleh bapa mereka, Ismail.


Malangnya, pujian-pujian itu membuatkan beliau berasa segan. Segan kerana beliau sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk membalas pujian-pujian tersebut. Maklumlah, ketika kematian Timbalan Perdana Menteri yang kedua itu pada 2 Ogos 1973, Tarmizi baru berusia 12 tahun. Anak kecil itu nyata belum cukup matang untuk memahami atau menghargai sumbangan serta legasi yang ditinggalkan oleh bapanya.

Namun, seingat Tarmizi, beliau mula sedar keistimewaan bapanya apabila terpaksa duduk berjauhan dengan Ismail setiap kali menghadiri majlis rasmi.

“Kami tidak pernah duduk bersebelahan ayah. Mak dan ayah akan selalu berada di kawasan khas untuk orang kenamaan (VVIP). Jadi, dari situ, saya sedar mak dan ayah adalah milik rakyat,” tambahnya.

Keprihatinan ayah

Lebih menarik, setiap kali bercuti di Mersing, Johor, Tarmizi memberitahu, ayahnya akan berhenti di setiap balai polis di sepanjang jalan-jalan lama dari Kuala Lumpur ke Johor.

“Kami sudah tentu mengeluh kerana ini akan menyebabkan tempoh perjalanan berlarutan lebih lapan jam. Tetapi, oleh sebab ayah ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan pasukan polis di bawah tanggungjawabnya, jadi dia menunaikan tugasnya,” ungkap Tarmizi.

Berikut adalah jawapan Ismail yang masih diingati Tarmizi mengenai pasukan polis : “Inilah orang yang ada keluarga dan tidak mengeluh walaupun terpaksa meninggalkan keselesaan hidup di bandar untuk berkhidmat di kawasan pedalaman di negara ini.”

Apa yang pasti, keprihatinan ayahnya itu secara tidak langsung membuahkan banyak perkara positif.

Buktinya, setiap pegawai polis dan keluarga mereka sanggup mengecat balai polis dan menghiasi taman demi menyambut kehadiran Ismail. Bukan setakat itu, kunjungan Tarmizi dan keluarganya juga akan disajikan dengan kuih dan air kopi. Jika tiba musim durian, mereka dikehendaki menghabiskan sedulang durian.

“Agaknya semua makanan manis itu telah meragut nyawa ayah,” katanya berseloroh tentang kematian bapanya akibat serangan penyakit jantung.

Tiada penyalahgunaan kuasa

Sepanjang tempoh kehidupan remajanya selama 12 tahun, Tarmizi mengakui sukar untuk melalui zaman kanak-kanak yang normal. Setiap kali beliau menjemput rakan-rakan ke rumah, mereka kelihatan lebih cenderung untuk menurut arahannya.

“Agaknya, peluang untuk bertemu dengan ibu bapa saya adalah satu pengalaman luar biasa kepada mereka. Sebabnya saya selalu diberitahu mereka akan menceritakan pengalaman itu kepada keluarga mereka selepas itu,” tambah Tarmizi.

Terkenal dengan sikap adil dan kekuatan, Ismail tidak hanya mempraktikkan kedua-dua kualiti tersebut dalam lingkup dunia politik. Sebagai bapa kepada enam orang anak, Ismail memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dan statusnya untuk kepentingan ahli keluarga.

Buktinya, ketika kakak Tarmizi ingin memohon untuk mendapatkan biasiswa, beliau menegaskan tidak akan menggunakan status sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi membantu merealisasikan impiannya.


TUN DR. ISMAIL (empat dari kiri) selepas majlis beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1970.


“Ayah kata, menjadi anak menteri tidak menafikan hak individu kakak sebagai seorang rakyat. Tetapi, kakak juga perlu bergantung kepada usaha dan kelayakannya untuk memiliki biasiswa itu,” katanya sambil menekankan ketegasan Ismail untuk menegakkan keadilan.

Menyifatkan kehidupan bersama ibu bapanya sebagai satu sedutan pelajaran sejarah yang hidup, satu-satunya kekesalan dalam hidup Tarmizi adalah kehilangan Ismail pada usia yang muda.

Namun, beliau turut mengingatkan generasi muda hari ini agar mengenali sejarah kerana ia masih relevan untuk mereka.

“Sejarah bukan subjek yang statik atau mati. Ia terus berkembang dan sentiasa ditagih untuk didengar,” kata anak keempat dalam keluarga tersebut. Ibu Tarmizi, Toh Puan Norashikin Mohd. Seth, meninggal dunia awal Julai lalu di Hospital Pakar Damansara, Damansara Kuala Lumpur kerana sakit tua pada usia 80 tahun.

Allahyarham merupakan wanita kedua negara yang disemadikan di Makam Pahlawan selepas menteri wanita pertama Malaysia, bekas Menteri Kebajikan Am Tun Fatimah Hashim.

Pesanan ayah

Dalam satu temu bual berasingan bersama dua orang adik Tarmizi di Taman Tun Dr. Ismail pula, Kosmo! memperoleh gambaran lebih jelas tentang sifat kebapaan Ismail di rumah. Biarpun sibuk dengan tugasan negara, beliau juga amat mementingkan keluarga.

“Saya masih ingat lagi bahawa ayah akan balik ke rumah untuk makan tengah hari hampir setiap hari. Sambil menjamu selera, tepat pukul 1.30 petang, beliau pasti akan mendengar saluran BBC dan kami tidak dibenarkan membuat bising. Telan makanan pun perlu perlahan tanpa mengeluarkan sebarang bunyi,” cerita Zamakhari, 46, yang berusia sembilan tahun ketika Ismail meninggal dunia.


NAMA Taman Tun Dr. Ismail sempena mengenang jasa tokoh itu.


Anak bongsu Ismail, Mohamed Ariff, 43, pula memberitahu, walaupun terlalu mentah untuk mengingati kehidupan bersama bapanya, dia tetap menghargai momen-momen indah ketika Ismail masih hidup.

Bermain golf dan menonton wayang antara dua hobi yang dikongsi oleh pengasas Malaysia tersebut bersama Allahyarham isterinya, Norashikin. Masih segar dalam ingatan Mohamed Ariff apabila dia dan abangnya sering dibawa untuk menemani kedua-dua orang tuanya di padang golf.

“Awal pagi sebelum pergi bekerja, ayah dan ibu akan membawa kami bersama untuk bermain golf. Masa itu, kami pun masih pakai baju tidur lagi!” katanya sambil ketawa mengingati momen tersebut.

Sebagai seorang yang bijak berfesyen dengan pemakaian tali-tali leher berwarna-warni, Ismail cukup mementingkan kejujuran.

Kepada anak-anaknya, lelaki yang terkenal dengan cermin mata berbingkai tebal hitam dan paip itu, beliau ingin melihat mereka berjaya dan memegang kejujuran sebagai tonggaknya.

“Ayah tidak pernah suka dengan orang pembohong dan beliau ingin kami sentiasa jujur terhadap diri dan berani menghadapi sebarang masalah,” tambah Zamakhari.

0 Responses to “Momen indah bersama ayah”

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Discussion