LECTURE SUBJECT:

Wednesday, August 18, 2010

DiGi anjur pertandingan hijau galak keusahawanan




PULAU PINANG 17 Ogos - DiGi.Com Berhad (DiGi) melancarkan pertandingan Deep Green Challenge For Change 2010 bagi menyemai nilai kelestarian serta menggalakkan keusahawanan yang mementingkan aspek persekitaran hijau.

Ketua Perhubungan Tanggungjawab Korporatnya, Vimal L. Kumar berkata, penganjuran pertandingan kali kedua itu menumpukan kepada usaha mengetengahkan idea sosial dan teknologi hijau terbaik.

Menurutnya, selain itu, program tahun ini juga memfokuskan kepada amalan keusahawanan mesra alam dan pada masa sama bakat tempatan bakal didedahkan di peringkat antarabangsa.

''Pertandingan ini terbuka kepada rakyat Malaysia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dengan memilih satu daripada dua kategori iaitu Cabaran Usaha Sosial dan Cabaran Idea Global Teknologi Bersih.

''Semua penyertaan perlu dihantar kepada pihak DiGi sebelum 4 Oktober ini," katanya kepada pemberita pada sesi taklimat khas media Deep Green Challenge For Change 2010 di sini semalam.

Mengulas lanjut, tambahnya, bagi Cabaran Usaha Sosial, peserta perlu membangunkan idea perniagaan merangkumi tenaga, alam sekitar, agrikultur dan pendidikan yang boleh diguna pakai di mana-mana Pusat Jalur Lebar Komuniti DiGi.

Bagi Cabaran Idea Global Teknologi Bersih pula, katanya, peserta perlu mewujudkan idea mesra alam sekitar kepada syarikat meliputi kategori antaranya udara, air serta sisa, kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan bangunan hijau.

''Bagi cabaran pertama, peserta dikehendaki menghantar hasil idea mereka melalui pembentangan sebanyak 15 muka surat dan cabaran kedua pula menerusi rakaman video selama lima minit.

''Bagi mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung cabaran tersebut dengan melayari laman web http://www. digi.com.my/deepgreen," ujarnya.

0 Responses to “DiGi anjur pertandingan hijau galak keusahawanan”

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Discussion